Aku dan Minecraft: Satu ceritera

Sejujurnya, selepas 3 tahun mengenali Minecraft, baru saya faham konsep penggunaannya secara teknikal. Sebelum ini, saya kurang ambil serius tentang Minecraft. Cuma menganggap ia adalah sebuah game, lebih-lebih lagi saya bukanlah kaki game.

Sepanjang 3 tahun ini saya lebih kepada memerhatikan sahaja. Semua kursus berkaitan Minecraft dalam Microsoft Educator Center sudah dikhatamkan semuanya tetapi minat yang mendalam masih belum sampai. 

Saya juga pernah mengikuti beberapa kursus tentang Minecraft yang dianjurkan oleh MARA, pernah juga mengikuti kursus berbayar semata-mata untuk mempelajari Minecraft namun masih tidak punya idea bagaimana dapat menggunakannya di dalam kelas. 

Yang banyak saya tahu adalah teori, dan faham konsep asas Minecraft. Sampai satu tahap, saya rasa nak abaikan saja Minecraft. Tak mahu menggunakannya kerana berasa ia tidak penting, tidak berbaloi untuk digunakan bersama pelajar. Saya mahu memfokuskan sahaja pada tools lain yang saya sudah biasa menggunakannya seperti Flipgrid, Wakelet, Office 365 dan lain-lain.

Dalam saya cuba melupakan Minecraft, satu emel menjengah masuk. Dalam emel tersebut memberitahu yang saya telah terpilih menjadi Minecraft Certified Educator. Pengiktirafan tersebut diterima kerana saya berjaya menyelesaikan semua kursus berkaitan Minecraft dalam Microsoft Educator Center (platform pembelajaran percuma untuk pendidik seluruh dunia). 

Saya pun dah ingat-ingat lupa tentang perkara ni. Tapi, kemahiran asas bagaimana nak gunakan Minecraft saya masih ingat. Rasanya dah hampir setahun saya selesaikan semua pembelajaran di platform tersebut, baru terima pengiktirafan ini.

Semangat saya semakin meningkat selepas dalam emel tersebut juga menyatakan saya layak memohon sebagai Global Minecraft Mentor. Satu lagi pengiktirafan antarabangsa kepada guru-guru yang menggunakan Minecraft secara aktif bersama para pelajar. 

Ada beberapa orang Global Minecraft Mentor yang saya kenal, ada juga yang saya tidak kenal tetapi masih belum ramai lagi bilangannya di Malaysia. Kalau dari MARA Cikgu Aliff (MRSM TMFS Sandakan), Cikgu Azrul (MRSM Merbok), Cikgu Arif (MRSM JB), Cikgu Andi (MRSM Kota Kinabalu) dan beberapa orang lagi. Saya fikir, inilah peluang untuk saya mengeksplorasi satu bidang yang masih belum ramai terokai lagi seperti mana saya mengeksplorasi Flipgrid dan Wakelet sebelum ini.

Mohon jadi Global Minecraft Mentor

Cuma kali ini, saya kena struggle lebih sikit berbanding tools lain sebab saya tidak punya asas yang kuat dalam dunia gaming. Saya pun cuba mengambil peluang memohon Global Minecraft Mentor. Tak susah sangat. Cuma perlu isi borang, jawab beberapa soalan dalam bentuk objektif dan esei, kemudian hantar video Flipgrid berdurasi 1 minit. 

Saya juga bertanyakan beberapa soalan kepada Cikgu Aliff Othman dari MRSM TMFS, Sandakan yang memang selalu jadi rujukan saya dalam bidang teknologi pendidikan sejak mula-mula berkecimpung dengan bidang ini tentang program Global Mentor ni.

Semangat saya untuk berMinecraft kembali semakin menyinar. Saya mula tengok-tengok balik video-video berkaitan Minecraft di Youtube dan buat bacaan tambahan. Saya melihat ramai guru di negara lain menggunakan Minecraft secara santai dan menyeronokkan. Pelajar-pelajar mereka dilihat sangat biasa dengan Minecraft seawal pra sekolah lagi. 

Ia membuatkan saya berfikir, adakah kelas saya ketika sesi PDP dijalankan dengan santai dan pelajar seronok belajar. Tanpa perlu terlalu berorientasikan peperiksaan, asyik bercakap tentang gred, A+ dan masa depan yang diukur dengan sijil.

Saya terfikir, alangkah seronoknya belajar dan tidak stres dengan exam. Hanya sibuk buat projek, kerjasama dengan rakan-rakan, banyak bersembang di dalam kelas, kongsi tanggungjawab bersama-sama dalam menghasilkan satu-satu tugasan. Pada saya, apabila pelajar seronok belajar, mereka akan mencari sendiri pelajaran tersebut dan minat mula datang. 

Bila dah minat, exam bukan satu halangan yang besar, pasti boleh skor juga walaupun disibukkan dengan aktivi dalam atau luar bilik darjah. Minecraft adalah salah satu alat yang boleh menjawab kepada persoalan-persoalan ini. Cuma saya masih kekurangan idea bagaimana mahu bermula. 

Sibuk buat rancangan pengajaran

Geng MRSM dan KPM bergabung idea

Kami Cikgu Juara Digital

Semakin saya cuba melupakan Minecraft, semakin ia datang dekat. Baru-baru ini, saya mendapat tawaran untuk menghadiri satu bengkel pembinaan Rancangan Pengajaran Minecraft yang dianjurkan oleh Microsoft Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan MARA. Untuk membina rancangan pengajaran ini, pengetahuan asas tentang Minecraft saja sudah cukup. 

Tetapi yang lebih utama menyediakan satu konten yang bermakna dalam sesi pembelajaran rasmi menggunakan Minecraft dengan mengamalkan PAK-21 atau 21 Century Learning Design. Seramai 14 orang pendidik seluruh Malaysia dari MARA, KPM termasuk para mentor dari JPN Johor dan KPM Putrajaya bekerjasama dalam membina rancangan pengajaran dalam bengkel tersebut. 

Bengkel ini seolah-olah menjadi pengecas kepada semangat saya untuk berMinecraft. Dalam bengkel ini, penceramah Dr Azma Abdul Hamid dan Dr Mohd Ali (USM) bertindak sebagai penasihat kepada rancangan pengajaran yang kami bina. 

Dalam pembentangan yang disampaikan oleh kedua-dua ilmuan ini, mereka banyak menyedarkan kami tentang keperluan penting mengamalkan pengajaran berpusatkan pelajar dan sebolehnya memaksimumkan kemahiran Abad 21 seperti literasi digital kepada pelajar demi masa depan mereka. Semua ini adalah keperluan masa kini.

Dr Mohd Ali, penuh ilmunya

Dr Azma, penuh hikmah kata-katanya

Alhamdulillah, bengkel berjalan dengan lancar dan kami dapat menyiapkan rancangan pengajaran Minecraft berkonsepkan beberapa mercu tanda Malaysia dalam pelbagai subjek. Rancangan pengajaran ini akan diperhalusi sedikit lagi oleh pihak berkenaan dan dalam perancangan untuk dikongsikan kepada komuniti Minecraft dari seluruh dunia.

Sekembalinya dari bengkel tersebut, dalam kepala macam-macam difikirkan tentang projek Minecraft yang ingin dilakukan bersama pelajar. Beberapa sekolah terutamanya MRSM yang telah memulakan langkah Minecraft bersama pelajar sebelum ini menjadi inspirasi saya contohnya MRSM TMFS, Sandakan. Projek Minecraft mereka dijadikan contoh kepada komuniti Minecraft dari seluruh dunia. Video tentang kisah mereka dipaparkan dalam laman rasmi antarabangsa Microsoft Education. 

Antara tips yang dikongsikan oleh Cikgu Aliff Othman, adalah mulakan dengan sekumpulan kecil pelajar yang boleh dijadikan Minecraft Champion di sekolah. Pelajar-pelajar ini sememangnya punya kemahiran sedia ada dalam gaming, dan pasti ada antara mereka yang sudah biasa atau pakar dalam Minecraft. Guru-guru membantu dari sudut konten dan membawa pelajar pada landasan ilmu berbanding menggunakan game sebagai kepuasan diri. Guru boleh belajar dengan pelajar terutamanya berkaitan aspek teknikal.

Alhamdulillah, beberapa hari yang lepas saya menerima satu lagi emel daripada pihak Microsoft yang menawarkan untuk menyertai program Minecraft Student Ambassador secara percuma sepenuhnya dalam talian. Program ini bertujuan, menjadikan sekumpulan pelajar sebagai duta Minecraft di sekolah dan boleh melatih rakan-rakan yang lain menggunakan Minecraft. Ia lebih berkesan dan bakal memudahkan tugas guru dalam menerapkan PAK-21 menggunakan Minecraft. 

Program ini dilaksanakan seminggu sekali dengan satu sesi berdurasi 1 jam sahaja selama 1 bulan. Pada sesi terakhir nanti, akan melibatkan para pelajar terpilih selama 2 jam. Disebabkan ia disampaikan oleh sekumpulan pendidik Minecraft dari Amerika Syarikat, saya terpaksa bersengkang mata pada pukul 1.00 pagi untuk mengikut kursus ini. Ada juga beberapa orang pendidik lain yang terlibat dalam program ini seperti Cikgu Goh Kok Ming dari Perak (MIEE Fellow) yang sememangnya hebat dalam Minecraft.

Perkongsian penuh inspirasi dalam kursus
Minecraft Student Ambassador

Namun, ia tidak menjadi hal kerana ilmu yang saya dapat itu amatlah bermakna. Perkongsian mereka juga sangat berkesan dan dekat di hati, lebih-lebih lagi mereka juga guru dan menghadapi masalah dan kekangan yang sama seperti masalah teknikal, masalah kekurangan peralatan, masalah sikap dan lain-lain. Saya jadikan perkongsian mereka sebagai inspirasi untuk meneruskan projek Minecraft di sekolah saya. 

Minecraft Champion MRSM Balik Pulau

Para peserta kursus perlu menyelesaikan 8 modul yang telah disusun bagi melayakkan kami menerima pengiktirafan sebagai Student Voice Ambassador. Modul tersebut sebenarnya adalah konten yang terdapat dalam platform Microsoft Learn (platform gantian kepada Microsoft Educator Center). Bagi MRSM Balik Pulau, kami merancang untuk memulakan projek ini dengan 4 orang pelajar Tingkatan 4 terlebih dahulu. 

Sebagai permulaan, saya mengumpulkan 4 orang pelajar tersebut dalam Whatsapp group dan mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama mereka. Pada masa ini, kami sedang mengusahakan world Haji dan Umrah Minecraft (topik pembelajaran Pendidikan Islam Tingkatan 4). Apabila world ini siap, kami akan gunakan bersama para pelajar Tingkatan 4 MRSM Balik Pulau dalam sesi pembelajaran topik Haji Umrah sebagai alternatif kepada praktikal haji umrah yang dilaksanakan secara berhadapan sebelum-sebelum ini. 

World Haji dan Umrah yang dibina bersama pelajar


Bukit Safa dalam pembikinan.
Cikgu kat belakang dok tengok saja apa pelajar buat tu

Akibat pandemik Covid-19, penggunaan Minecraft sebagai alat praktikal haji umrah secara virtual dilihat sebagai keperluan yang sangat baik pada masa kini kerana pelajar bukan sahaja mendapat kefahaman, tetapi kemahiran lain seperti literasi digital, komunikasi, kolaborasi, kepimpinan dan lain-lain dapat diterapkan bersama. 

Saya tidak meletakkan harapan yang sangat besar untuk projek ini tetapi cukuplah kami ada satu world yang lengkap dan boleh digunakan secara praktikal walaupun tidak cukup cantik. Kerana ini hanya permulaan. Mohon doakan projek kami ini berjaya ye😊



Comments