Tular di alam maya tentang kisah seorang ibu yang bertindak membuat siaran langsung di laman sosial memaparkan aksinya 'mengamuk', memarahi pekerja satu kedai serbaneka yang dikatakan menuduh anaknya mencuri. Yang lebih mencuri perhatian, dalam siaran langsung tersebut, kelihatan anak ibu tersebut (dalam lingkungan umur sekolah rendah) turut 'mengamuk' menafikan dia mencuri sambil bertindak menyepahkan barang sambil menyepak rak di hadapan kaunter kedai serbaneka tersebut. Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan ibunya sendiri dan para pekerja kedai tersebut.
Komen para netizen sepertinya tidak menyebelahi ibu, malah ramai yang mengecam kerana pada mereka perkara tersebut boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu aksi menyerang lebih-lebih lagi menyiarkannya di media sosial secara langsung.
Ada yang kata, pelaku hanya mahukan perhatian, terlampau memihak kepada anak. Mereka juga mengecam perbuatan si anak yang kurang beradab. Kebanyakan komen yang dititipkan di laman-laman tersebarnya video tersebut lebih kepada komen mengecam berbanding komen berbentuk nasihat dan yang bersifat empati.
Secara peribadi, saya juga tidak bersetuju dengan tindakan ibu tersebut memaparkan aksi 'live' mengamuk di kedai serbaneka kerana budaya orang kita tidak seperti itu. Bukan tidak pernah berlaku aksi mengamuk seperti itu, cuma yang berbeza kali ini ia dapat ditonton oleh orang ramai dari seluruh negara. Khabarnya, dalam masa sehari jumlah tontonan video tersebut telah melebihi 1 juta tontonan.
Tetapi, dari sudut yang lain setelah memerhatikan video tersebut, saya cuba mendalaminya secara lebih berempati. Saya lihat, aksi si anak menyepahkan barang dan menyepak rak kaunter sebenarnya tidak dipersetujui oleh si ibu kerana setiap kali anaknya menyepahkan barang, si ibu menyuruh anaknya menyusun dan mengemas semula barang tersebut.
Si ibu tidak dapat menerima anaknya dituduh mencuri kerana dia tahu anaknya tidak mencuri. Cuma kesilapannya di sini, dia tidak mengamalkan diplomasi dalam menyelesaikan isu tersebut. Dia juga tidak cuba mendengar betul-betul penjelasan pekerja tentang salah faham tersebut. Apa yang dilakukan ialah menyerang dahulu, berbincang kemudian.
Pada video seterusnya, ibu tersebut membuat sekali lagi siaran langsung di kedai serbaneka yang sama tetapi kali ini dia datang dengan perwatakan yang berbeza sama sekali. Dia juga menyatakan, bahawa telah mendapat kecaman dari seluruh negara atas peristiwa yang berlaku dan mendapat pengajaran daripada kesilapannya. Berdiskusi dan tolak ansur diamalkan pada kali ini dengan membawa jiwa keibuan.
Dengan penuh lemah-lembut, dengan kata-kata dan pemikiran penuh rasional menzahirkan permohonan maaf. Dalam video permohonan maaf tersebut, kita dapat mengetahui aliran cerita sebenar setelah dirinya bersifat terbuka untuk mendengar sendiri penjelasan pihak pekerja tentang peristiwa tersebut. Kelihatan si ibu, berlapang dada mengakui kesilapannya 'menyerang' tempoh hari.
Ramai yang memuji tindakan pekerja serbaneka itu yang bersifat terbuka dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut. Pekerja tersebut juga tidak mengambil hal yang serius dan memaafkan si ibu dan anaknya dari awal lagi malah memohon maaf bagi pihak diri sendiri. Tetapi, masih lagi kelihatan komen-komen sinis menyalahkan si ibu, ada yang menuduhnya pandai berlakon, masih menyalahkan dia atas peristiwa semalam dan macam-macam lagi komen negatif.
Tahniah kepada para netizen yang mengecam tindakan si ibu dan menyedarkan dia tentang kesilapan dilakukan. Tetapi dalam mengecam juga perlulah jaga tutur kata, jangan sampai mengeluarkan perkataan yang tidak elok dan maki hamun. Pesanlah secara berhemah.
Setelah si ibu sedar atas kesilapannya, dan sanggup merendahkan dirinya berhadapan sekali lagi dengan para pekerja serta memohon maaf secara terbuka, kita sebagai netizen juga punya tanggungjawab memberikan sokongan dan memuji tindakan beraninya itu kerana dia telah pun menyahut seruan peribahasa 'berani buat, berani tanggung'. Mengaku salah dan meminta maaf adalah perilaku terpuji yang tidak ramai yang sanggup lakukan.
Peristiwa yang berlaku ini sebenarnya memberikan banyak pengajaran kepada kita. Itu pun jika kita memilih untuk mengambil pengajaran. Jika kita masih memilih untuk terus mengecam dan memperli, tiada siapa yang boleh mengubahnya. Itu adalah masalah hati yang tidak boleh dicuci dengan sabun pencuci paling mahal sekali pun.
Jika tiket ke syurga itu mengutamakan kisah masa silam, kita insan yang berdosa ini tidak mampu berharap memasukinya disebabkan keburukan masa silam kita. Tersalah laku adalah satu proses menjadikan kita insan lebih baik dan mulia. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Comments
Post a Comment