Kursus TOT Jurulatih Inovasi MARA

 

Bersama tenaga penceramah Dr Rahmat Shazi, Encik Hussein Mohd Ariff, Pengarah BITK MARA, Puan Norzaini Abu Kassim dan Timbalan Pengarah 1, BITK  MARA Puan Zuliana Haslinda Anhar Zubir, Encik Idris (IKM Lumut) dan Encik Arif (MRSM JB)

Bermula 1-3 Jun 2022 tempoh hari, dapat saya hadiri Kursus TOT Jurulatih Inovasi MARA yang dianjurkan oleh Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif MARA (BITK) bagi mendalami ilmu tentang inovasi. Seramai lebih kurang 30 orang peserta daripada pelbagai latar belakang dan pusat berbeza telah menyertai bengkel ini yang diadakan di Hotel Ibis, Jalan Bendahara, Melaka. 


Sebagai mukadimah, kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kami ditugaskan untuk menghasilkan satu binaan berkonsepkan roller coaster menggunakan bahan yang dibekalkan sahaja seperti kad manila, kertas dan lain-lain

Objektif utama adalah guli perlu menjatuhkan stik kayu kecil dan cabarannya adalah pergerakan guli tersebut perlu diperlahankan semaksimum mungkin.  Binaan yang mencapai objektif dengan pergerakan guli paling perlahan dikira sebagai pemenang. 

Pemenang bersama hasil binaan mereka yang padu

Hasil binaan hebat Kumpulan 5 yang mendapat tempat kedua

Semua kumpulan berjaya mencapai objektif utama manakala Kumpulan 2 dinobatkan sebagai pemenang dengan masa sekitar lebih 7 saat dan mendapat hadiah hamper Mamee, produk yang sangat sinonim dengan orang Melaka😊


Cabaran lakaran produk daripada abstrak berbentuk teks

Banyak lagi aktiviti berkumpulan yang dapat memantapkan kefahaman kami terhadap modul kursus. Rata-ratanya kami baru mengenali di antara satu sama lain. Aktiviti-aktiviti berkumpulan seperti ini dapat meningkatkan persefahaman dan perkongsian kepakaran masing-masing.

Kami telah dilatih oleh 2 orang ilmuan inovasi yang hebat iaitu Dr Rahmat Shazi  dari Shazinnovation Solution dan Encik Hussein Mohd Ariff dari MACRI Malaysia yang mempunyai pengalaman sangat luas dalam bidang industri dan inovasi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Mereka sangat mahir dalam bidang ini dan mendedahkan begitu banyak maklumat dan ilmu berguna tentang inovasi.

Encik Hussein sedang memberikan bimbingan dalam kumpulan

Pembentangan

Dr Rahmat Shazi, guru inovasi yang penuh pengalaman dan ilmu

Saya dapat menggambarkan kursus yang kami lalui kali ini amat padat kerana ia sarat dengan pelbagai ilmu inovasi yang tidak pernah lagi kami ketahui. 

Antara penekanan adalah pada IVC (Innovation Value Chain) iaitu satu framework yang boleh digunakan oleh para inovator dalam membangunkan produk inovasi yang mempunyai nilai komersil dan kebolehpasaran yang tinggi dan juga pada TRL (Technology Readiness Level) yang dapat mengukur tahap ketersediaan sesebuah produk inovasi.


Dengan mengetahui aspek asas dalam IVC dan TRL, seseorang inovator dapat melihat dengan lebih jelas letak duduk produk inovasi mereka dan akan nampak lebih jauh terkehadapan bagaimana produk mereka boleh pergi kerana framework ini besar dan agak terperinci.

Penilaian dalam melakukan inovasi

Innovation Value Chain

Antara yang ditekankan adalah seperti IVC, TRL, model-model pemikiran dan falsafah inovasi, mengenali masalah, bagaimana menjana dan mengurus idea, unsur kepercayaan/TRUST, penerapan konsep Buy-In dalam pembentangan inovasi, domain bahasa dalam komunikasi inovasi dan banyak lagi input menarik walaupun agak sedikit mencabar untuk difahami pada peringkat awal.

Peserta khusyuk mendengar perkongsian ilmu tenaga penceramah

Namun, berkat bimbingan tenaga penceramah yang pakar serta perkongsian kefahaman rakan peserta, ilmu pengetahuan ini dapat difahami dengan cara yang mudah. Aktiviti berkumpulan, sesi soal jawab dan lontaran pendapat secara dua hala memantapkan lagi kefahaman peserta dalam kursus ini.

Perbincangan kumpulan

Pembentangan

Peranan Jurulatih Inovasi MARA

 Di sinilah peranan kami selaku Jurulatih Inovasi MARA untuk menterjemahkan ilmu-ilmu inovasi yang kami dapati ini dengan melatih warga MARA dalam beberapa siri bengkel inovasi pada masa akan datang. Usaha kecil ini nanti diharapkan dapat menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha menyemarakkan budaya inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bersama sebahagian daripada Jurulatih Inovasi MARA yang sangat memotivasikan

Antara siri bengkel yang bakal terlibat adalah JIL (Junior Innovation Lab) khusus untuk pelajar MRSM, YIL (Youth Innovation Lab) kepada pelajar di peringkat IPT MARA, SIL (Staff Innovation Lab) kepada kakitangan MARA dan juga EIL (Entrepreneur Innovation Lab) untuk usahawan MARA.

Sebelum kursus secara bersemuka ini berlangsung, kami sebenarnya telah melalui beberapa siri kursus secara dalam talian sepanjang 2 tahun pandemik Covid-19. Antaranya, kami telah berjaya menghasilkan modul-modul yang dirancang untuk digunakan dalam bengkel-bengkel tersebut.

Kursus TOT kali ini adalah sebagai satu platform untuk membuat sedikit penambahbaikan kepada modul yang telah disiapkan. Sebahagian aktiviti dalam modul ini telah pun diuji dalam bengkel-bengkel sebelum ini. Dengan penambahbaikan yang dibuat, ia pasti bakal memberikan impak lebih besar dan lebih berkesan.

Jom tonton bingkisan video ringkas kursus ini. Kredit video: Puan Zuliana, Timbalan Pengarah 1, BITK. Kredit gambar: BITK dan rakan-rakan peserta.












Comments