Alhamdulillah, pada hari Khamis yang lalu (14 Julai 2022), saya telah berjaya memiliki Google Certified Educator Level 1. Terima kasih kepada pihak MDEC yang menyediakan baucar percuma kepada Cikgu Juara Digital untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Terima kasih kepada Encik Johan dan Puan Fatin Ainaa dari MDEC yang menguruskan program CGE ini. Dan berbanyak terima kasih juga kepada mentor atau trainer yang membimbing kumpulan kami iaitu Cikgu Emkay Idzwan dan Cikgu Shamsuria dalam menduduki CGE Level 1. Pengalaman dan ilmu pengetahuan mereka cukup luas dalam Google.
Pada pendapat saya, kelebihan memiliki CGE Level 1 ini adalah kita dapat mengetahui tentang kelebihan menggunakan produk Google dalam bidang pendidikan. Dengan mengambil peperiksaan seperti ini, kita lebih cakna dengan kelebihan yang ada dalam akaun Google kita di samaping dapat memaksimumkan manfaat penggunaan akaun tersebut.
Cikgu Juara Digital memiliki Google Certified Educator Level 1, kumpulan kami |
Antara yang menarik untuk dieksplorasi ialah aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom, Google Drive, Chrome, konsep Digital Citizenship dan lain-lain lagi.
Masa yang diberikan untuk menduduki CGE Level 1 ini adalah selama 3 jam dan apa yang paling saya suka ialah pada kali ini konsep Open Book Test digunapakai untuk menjawab 35 soalan berbentuk objektif pelbagai.
Walaupun konsep Open Book Test digunapakai, ia masih tetap mencabar kerana tidak semestinya 1 pilihan sahaja yang betul. Kadang-kadang, boleh jadi 2 atau 3 pilihan jawapan yang betul, atau semuanya betul.
Jawapan yang disediakan juga hampir sama. Justeru pertimbangan secara berhati-hati perlu digunakan bagi menjawab setiap soalan.
Saya melihat Open Book Test perlu dilaksanakan lebih luas lagi dalam bidang pendidikan kita sendiri terutamanya di peringkat sekolah.
Hal ini kerana, melalui pengalaman saya mengikuti beberapa kursus dan beberapa jenis peperiksaan dalam talian yang mengamalkan Open Book Test, proses mencari jawapan itu sendiri adalah proses yang sangat baik sehingga dapat membuka minda kita tentang konsep soalan tersebut. Sudut pandang kita jadi lebih luas.
Dalam masa yang sama juga ia umpama 2 dalam 1, iaitu sepanjang proses mencari jawapan, kita bukan sahaja dapat menjawab soalan yang ditanya tersebut, malah kita juga dapat fakta-fakta lain juga yang tiada kaitan dengan soalan.
Open Book Test juga dapat melatih kita lebih cekap dalam mencari fakta dan ilmu dengan lebih mendalam. Selalu saya dengar, Open Book Test lebih susah berbanding ujian berbentuk konservatif kerana kadang-kadang kita tidak sempat pun nak 'buka buku' kerana kesuntukan masa.
InsyaAllah, jika ada rezeki, saya ingin mengikut pula Google Certified Educator Level 2 bagi meningkatkan lagi kefahaman saya tentang teknologi Google terutamanya dalam bidang pendidikan.
Para pendidik Cikgu Juara Digital daripada MARA/MRSM seluruh Malaysia. Kami juga adalah Google Certified Educator Level 1...:
Comments
Post a Comment