Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE): Pengiktirafan bagi para pendidik

MIEE dari MRSM Balik Pulau bagi sesi 2022/2023
MIEE dianugerahi lencana khas sebagai pengiktirafan

    Sejak terlibat dengan program ini bermula tahun 2016, saya mendapati banyak perubahan positif yang berlaku kepada diri terutamanya dalam penghayatan terhadap ilmu pedagogi pendidikan. 

    MIEE bukan sekadar pendidik yang menggunakan teknologi Microsoft dalam kerjaya mereka, tetapi ia lebih kepada bagaimana mengaplikasikan sebarang jenis teknologi dan gaya pengajaran bercirikan PAK-21. 

    Penggunaan teknologi tanpa arah tujuan yang jelas dalam pengajaran dan pembelajaran adalah satu pembaziran. Jika tidak dihayati, penggunaan teknologi hanyalah sia-sia dan kurang memberikan impak. 

    Pada masa kini, pelajar-pelajar telah terdedah dengan teknologi. Ia menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka. Malah, kebanyakan pelajar lebih baik pengetahuan dan kemahiran mereka dalam aspek teknologi berbanding para guru.

    Namun begitu, pelajar memerlukan para pendidik bagi membimbing mereka menongkah arus teknologi. Pendidik memberikan tunjuk ajar, panduan dan kaedah bagi menapis maklumat dan lautan ilmu supaya pelajar tidak lemas dibawa dek arus teknologi yang melimpah ruah. Peranan pendidik amat penting sebagai petunjuk kepada para pelajar supaya tidak tersesat.

Pengiktirafan antarabangsa bagi para pendidik

    Program MIEE adalah satu pengiktirafan kepada para pendidik di peringkat antarabangsa. Melalui program ini, kita dapat sama-sama melihat dan menimba ilmu serta pengalaman daripada rakan pendidik dari seluruh dunia. 

    MIEE juga digalakkan berkolaboratif sesama mereka bagi meningkatkan martabat bidang pendidikan dan juga memberikan pengalaman berguna serta peluang kepada para pelajar dalam menuntut ilmu. 

    Ia juga menggalakkan pendidik untuk berkongsi amalan terbaik mereka bersama rakan-rakan pendidik yang lain. 

    Program ini adalah satu jalan yang boleh kita ikuti jika mahu mengetahui tentang perkembangan terkini bidang pendidikan yang berlaku di seluruh dunia. 

    Anda boleh ikuti https://learn.microsoft.com/ untuk mengetahui, mempelajari dan mendalami ilmu teknologi pendidikan.

Jom budayakan teknologi pendidikan dalam kerjaya kita sebagai pendidik😊




Comments