Sekeluarga berinovasi

Cikgudaninovasi bersama isteri dan anak sama-sama bertanding dalam International, Invention, Innovation & Design Competition (i3DC 2023). Pertandingan inovasi peringkat antarabangsa anjuran bersama Kolej Vokasional Tanah Merah dan UiTM Cawangan Kelantan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya.

Ia berjaya menarik kira-kira 701 penyertaan dalam pelbagai kategori seperti Professional (industri, orang akademik), Tertiary (IPT) Young Innovator (sekolah menengah) dan Junior Innovator (sekolah rendah). Yang lebih menarik, penyertaan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah adalah percuma dan dikira markahnya dalam PAJSK (kokurikulum).

Tawaran ini tidak dilepaskan oleh cikgudaninovasi. Ia memudahkan para inovator kerana dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian. Sistem pendaftarannya juga sangat sistematik menggunakan platform ReGistro .

Segala maklumat, bahan pertandingan, hebahan malah sijil penyertaan boleh didapati dalam akaun masing-masing. Urus setia pertandingan ini juga sangat mesra dan aktif dalam Telegram, melayan semua pertanyaan dan karenah para peserta yang ramai juga di antara mereka yang baru pertama kali menyertai pertandingan inovasi. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur.

Cikgudaninovasi membimbing sekumpulan 5 orang pelajar Tingkatan 5 dalam menghasilkan projek inovasi Minecraf Haji Umrah. Manakala isteri yang berkhidmat di Politeknik Balik Pulau bersama ahli kumpulannya mempertaruhkan produk inovasi MYislamic.bot yang mereka hasilkan bagi memudahkan dokumentasi kerja melalui penggunaan Telegram bot. Anak kami, Indah Khadijah pula baru pertama kali cuba bertanding projek inovasinya iaitu Belajar Matematik dengan Minecraft. Tajuk Ruang dan Bentuk yang ada dalam buku teks, diterjemahkan dalam bentuk Minecraft Education.

Alhamdulillah, penyertaan keluarga kami pada kali ini membuahkan hasil dengan Minecraft Haji Umrah dan Belajar Matematik dengan Minecraft memperoleh Gold Medal manakali projek MYislamic.bot memperoleh Silver Medal.



Pengalaman ini sangat berguna terutamanya kepada Indah Khadijah. Penyertaannya kali ini diharap dapat meningkatkan kemahiran pitching dan membuat pembentangan di samping meningkatkan lagi kemahirannya dalam bidang teknologi dan pelajaran. 

Cikgudaninovasi sebelum ini pernah bekerjasama dengan isteri dan rakan sejawatannya di Politeknik Balik Pulau dalam penghasilan Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif yang pernah memenangi beberapa pertandingan inovasi dan mendapat anugerah. 

Kali ini kami sama-sama masuk pertandingan inovasi tetapi dalam kumpulan yang berbeza. Cikgudaninovasi juga dapat mempelajari bagaimana menghasilkan Telegram bot sendiri melalui tunjuk ajar isteri. Dapat lah cikgudaninovasi hasilkan Unit PAI bot bagi kegunaan unit Pendidikan Islam, MRSM Balik Pulau. Bot ini juga dikongsikan untuk kegunaan Unit Pendidikan Islam di MRSM lain di seluruh negara.

Comments