Sebarkan inovasi bersama rakan sekerja


Sesi PLC 2023 diserikan dengan perkongsian mengenai teknologi pendidikan. Program dalaman anjuran Jawatankuasa Pembangunan Profesionalisme Guru Staf dan Jawatankuasa Digital Splendours menampilkan Cikgu Aimi yang berkongsi tentang ChatGPT.

Pengalaman beliau menggunakan ChatGPT dalam membantu urusan kerja seharian termasuk membina soalan peperiksaan yang berkualiti sangat menarik untuk diikuti. 

Cikgudaninovasi sendiri tiada pengalaman menggunakan ChatGPT secara serius teruja dengan perkongsian beliau dan baru tahu ChatGPT mampu membina jadual/table dan membuat perbandingan.

Memandangkan masa perkongsian sekejap sahaja (45 minit), sesi ini diharapkan dapat diteruskan lagi sambungannya nanti. 



Selepas sesi ChatGPT, Cikgu Hemma pula mengambil alih pentas dengan membawa para peserta untuk mendaftarkan akaun dalam platform Microsoft Learn seterusnya berjaya bergelar Microsoft Educator (ME) hasil pembelajaran dalam Course/kursus singkat yang disediakan dalam platform tersebut.


Para peserta berasa teruja kerana kebanyakannya baru pertama kali melayari Microsoft Learn dan berjaya mendapatkan beberapa keping sijil dalam talian hasil mengikuti kursus bertaraf antarabangsa ini.


Selepas itu, Cikgudaninovasi pula berkongsi tentang Blended Learning. Pada masa kini, Cikgudaninovasi berpendapat kita hampir tidak dapat mengelakkan kaedah Blended Learning kerana sumber internet yang 'tiada batas' menjadi sumber rujukan mempelajari ilmu oleh para pelajar.

Sebagai pendidik kita perlu mengambil peluang ini untuk mengamalkan Blended Learning dengan menyepadukan penggunaan internet dan kaedah secara bersemuka bagi menjadikan pembelajaran lebih berkesan kerana guru pada masa kini bukanlah satu-satunya sumber ilmu secara total.

Tetapi peranan guru masih relevan malahan sangat penting dalam membimbing generasi kini menongkah arus kebanjiran maklumat di ruang siber sehingga mereka cenderung lemas atau paling dahsyat boleh jadi sesat tanpa bimbingan guru.


Begitulah peri pentingnya peranan seorang guru. Guru perlu beradaptasi dengan perubahan, bukan menghalang atau cuba menghentikan arus perubahan yang seakan terus bergerak meninggalkan mereka yang 'selesa' jauh di belakang.

Marilah kita sama-sama saling bermuhasabah dan menyokong di antara satu sama lain dengan berkongsi ilmu yang ada demi kebaikan bersama dan kegemilangan generasi kini. Berubah untuk terus relevan.


Comments