40 tahun cikgudaninovasi

Terasa sekejap sahaja 2023 berlalu. 2024 pun menjelma dengan pelbagai perkara yang pasti bakal berlaku. Kita tak akan tahu apa yang berlaku kerana itu semua ketentuan Tuhan. Tetapi sebagai insan, kita boleh mempersiapkan diri dan boleh membuat jangkaan. 

Bagi aku, 2024 antara tahun emas kerana usia bakal mencecah 40 tahun. Aku ingin mengulas sedikit tentang rasa dan buah fikiran dalam aspek inovasi dan dunia pendidikan yang telah mematangkan diri. Tahun ini juga genap 15 tahun aku berkhidmat sebagai guru. Bermula dengan MRSM Tawau pada tahun 2008, 2010 berpindah ke bumi Balik Pulau dan kekal sehingga kini mengajar di MRSM Balik Pulau. 

Aku cuma ada pengalaman berhijrah sekali sahaja, tidak seperti rakan-rakan lain yang mungkin banyak kali berpindah dan lebih banyak pengalaman yang dipelajari mereka. Walaupun tidak berhijrah secara fizikal, hijrah secara mental dan kerohanian sangat penting supaya diri berasa lebih segar dan bertenaga. Kira-kira 20 tahun lagi untuk berpencen. Ternyata lebih lama lagi untuk berkhidmat sedangkan tempoh perkhidmatan sekarang tidak sampai separuh perkhidmatan lagi. 

Setelah melalui pengalaman ini, perkhidmatan sebagai pendidik dalam diri aku boleh dibahagikan secara 3 fasa. 1 fasa sama dengan 5 tahun, macam yang ramai orang perkatakan. Ada juga yang gemar membahagikan fasa hidup mereka kepada 3 tahun untuk 1 fasa. Terpulang kepada pendapat individu. Bagi aku, 3 tahun untuk 1 fasa terlalu sebentar, belum cukup matang. Tapi adakalanya, buah yang belum cukup masak agak lazat juga untuk dinikmati seperti buah pelam separuh masak tetapi perlu dipasangkan dengan unsur lain seperti kuah rojak, asam boi, gula dan seumpamanya berbanding buah yang masak ranum, sedap dinikmati begitu sahaja. Analoginya begitu. 


Fasa 1: 5 tahun pertama (2008-2012)

Fasa ini serba tidak pasti. Disebabkan terlalu baru dalam bidang pendidikan, tambahan pula bukan lulusan pendidikan semuanya tidak pasti. Sesuai dengan usia muda ketika itu, 24 tahun, usia yang sukakan cabaran dan perasaan ingin mencuba selalu ada. Takut-takut selalu ada, tapi rakan sekerja yang lebih berpengalaman selalu ada untuk  menghadirkan rasa berani menghadapi ketakutan. Apa yang penting, bercampur gaul dengan mereka lebih berpengalaman, selalu ingin belajar dengan orang lama, sifat menghormati mereka walaupun jiwa muda kadang-kadang tidak setuju adalah penyelamat supaya tidak hanyut mengikut arus kesesatan. 

Orang lama selalu nasihat 'ikut' saja arahan, kurangkan 'melawan', buat sikit-sikit jangan sekaligus, jangan gopoh, tak apa kalau tak capai semua tapi jangan tak dapat semua, jangan ambil risiko besar, budak-budak memang macam tu, jangan ambil hati dan seumpamanya. Itu nasihat-nasihat yang kadang aku terima acuh tak acuh sebab semangat orang muda selalu ingin cepat, ingin banyak, ingin besar. Ini semua boleh aku katakan sebagai sifat 'tamak'. Bila difikirkan balik nasihat itu harus diterima dan diamalkan. Di usia seperti sekarang ini, aku juga cenderung bagi kata-kata tersebut kepada cikgu-cikgu muda.

5 tahun pertama berjaya dilalui dengan baik. Baru nak mengenali dunia pendidikan. Baru ambil Diploma Pendidikan. Baru nak kenal hati budi pelajar. Refleks balik aku dulu kat sekolah macam mana, macam tu la juga pelajar yang aku ajar. Anak murid ketika itu pun macam adik-adik saja. Tak tahu lagi nak layan mereka macam anak-anak sebab belum ada anak dan lepas ada anak pun mereka masih kecil lagi. Tapi jenis aku, lebih selesa jika hubungan guru dan anak murid secara profesional, sehingga sekarang pun begitu. Nampak macam agak formal tapi itu lah, aku selesa berbuat begitu. Tumpang seronok tengok rakan-rakan pendidik yang rapat dengan murid mereka macam keluarga.

Fasa 2: 5 tahun kedua (2013-2018)

Fasa kedua diri menjadi lebih tenang. Cabaran dalam bidang perguruan telah berjaya dilalui. Sudah kenal sedalam mana lembah. Lembah yang tinggi kita lalui dengan strategi yang lebih teliti. Lembah sedikit curam kita lebih berhati-hati. Cuma fasa ini menyebabkan aku sedar belum kenal lagi dengan jurang. Sudah selesai menakluk bukit, tetapi gunung belum tahu lagi laluannya. Alam yang mencabar ketika ini adalah sebagai warden/guru asrama. 

Aku pernah jadi warden 3 tahun awal perkhidmatan. Rehat sebentar, jadi warden lagi pada 2014. Itu biasa. 2015 dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Warden sampai 2016. Walaupun berat, aku terima ia sebagai cabaran. Lagipun, lebih 5 tahun berkhidmat, aku rasa cukup pengalaman untuk ambil cabaran itu. Ternyata, sebagai Ketua Warden bukan seperti warden. Apa yang lebihnya Ketua Warden? Pastinya tanggungjawab. Sebagai ketua, apa yang berlaku di bawah tanggungjawab kita. Semuanya walaupun sekecil-kecil perkara. 

Namun, kerja berkumpulan menjadikan kita kuat. Kerja berseorangan mungkin lebih selesa, namun kita mudah lemah jika sesuatu luar jangka berlaku. Buat sama-sama, tanggung sama-sama. Itu yang menjadikan apa pun cabaran yang kita hadapi, pasti boleh diselesaikan. Fasa menjadi Ketua Warden bersama warden-warden yang rata-rata ketika itu baru masuk kerja dengan semangat mereka menjadikan pengalaman ini sangat manis untuk dikenang. Aku belajar macam mana menghadapi kritikan orang, komen membina dan komen memusnah. Aku rasai peritnya stress hingga tidur wad, aku jadi faham kepentingan masa bersama keluarga. 2 tahun sebagai Ketua Warden memberikan aku kesedaran, memberikan aku makna. Aku lebih faham kehidupan pelajar dan sama-sama menjiwai konflik hidup mereka yang sedang meningkat remaja. 

Banyak pergolakan dalam diri. Aku lebih mudah memaafkan. Aku tidak mengucapkan kata-kata pelajar kurang ajar walaupun jiwa muda membara aku masih bersisa dan kurang sabar dengan karenah mereka sekali-sekala. Aku tinggi suara kelihatan marah-marah serta kasar di depan mereka tapi aku punya secebis jiwa yang halus yang tidak kelihatan di mata mereka. Kadang-kadang terdengar di telinga bisik-bisik rasa tidak puas hati mereka terhadap perwatakan aku, contengan kutukan tentang aku, orang tua mereka ada yang bising dengan aku. Tipu, kalau aku tak terkesan kerana aku manusia biasa. Tapi aku belajar, belajar untuk terima sehingga aku sudah mangli. Aku cuma berharap masa akan menentukan yang suatu hari mereka meningkat dewasa, mereka nampak yang aku buat itu semata-mata niat untuk mendidik. Cuma berharap tiada yang berdendam dan memaafkan jika aku bersalah. Aku manusia biasa.  

Paling tersentuh, aku sedar masa bukan milik kita, ia milik Allah. Walaupun serba sibuk sebagai Ketua Warden, aku ada masa berkualiti. Dunia inovasi mula bercambah ketika ini. Aku hasilkan inovasi pertama Kit Pembelajaran Haji Umrah Al-Mutawwif bersama isteri dan rakan. Bermula dengan ini, aku terlibat dengan inovasi secara lebih serius sehingga menjadi Jurulatih Inovasi MARA. Sampai kini, inovasi belum pernah padam lagi dalam kamus hidup. Aku mula berjinak-jnak dengan teknologi pendidikan. Belajar dan terus belajar. Allah SWT beri aku banyak peluang untuk berkursus ilmu baru, belajar ilmu baru. Bila belajar sesuatu yang baru, aku rasa muda. Aku jadi suka kongsikan ilmu yang ada walaupun secebis cuma. Aku tiru pendidik-pendidik lain yang lebih banyak ilmu meraka. Aku kagum dengan semangat berkongsi mereka. Merakalah influencer sebelum wujud istilah influencer dalam konteks masa kini. Ini yang aku cari selama ini dalam kerjaya aku. Aku jadi tenang, stress yang kerap menjadikan aku vertigo dah lama tidak muncul sejak itu. Ya, aku seronok dengan perkara ini lebih-lebih lagi dengan sokongan keluarga. Keseronokan adalah kunci kebahagiaan hidup. Aku sudah kenal diri, mungkin sudah tahu potensi diri. 

Anjakan paradigma. 

Sebelum ini biasa dengar tapi macam angin lalu saja. Macam kata klise yang berulang kali singgah di telinga. Apabila, MARA melancarkan program IBMYP di 3 buah maktab iaitu MRSM Balik Pulau, MRSM Pontian dan MRSM Sandakan. Di Fasa 2 inilah baru aku rasai betul-betul dan menghayati apa itu dunia pendidikan. Sebelum ini, aku hanya ajar, budak faham, jawab peperiksaan, capai target, berjaya. Tapi dengan pelaksanaan IBMYP, minda lebih terbuka kerana  ditunjukkan bagaimana sistem pendidikan global berfungsi di seluruh dunia. 

Dapat menjiwai, bagaimana proses pendidikan sekolah berlaku di negara-negara maju. Diberikan kesempatan melaksanakan program IBMYP (pendidikan antarabangsa) di MRSM Balik Pulau selama 5 tahun. Aku sangat menikmati perjalanan program ini. Aku lebih menghargai kemenjadian pelajar. Aku lebih percaya potensi diri pelajar. Bukanlah bersandarkan sistem peperiksaan semata-mata. Pelajar lebih mengerti dan menghargai ilmu, lebih berdikari, mengenal potensi diri mereka. Lebih bersedia dengan skil masa depan dan tentunya lebih aktif.

Setelah melalui program IBMYP ini, munculnya kurikulum baru KSSM menggantikan KBSM. Aku dapat melihat dokumen, carta, pelaksanaan KSSM sebahagian besarnya seiring dengan IBMYP. Tak jauh beza. Aku gembira. Peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, PT3 dimansuhkan..itu agenda yang melegakan aku. Tetapi bukan sebahagian masyarakat. Mereka masih bimbang. Ramai yang inginkan peperiksaan berpusat semula supaya anak-anak rajin belajar. Mereka risau, anak-anak semakin tidak serius belajar kerana tiada peperiksaan besar. Kerisauan mereka berasas juga kerana kita masih baru dengan sistem begini. 

Ilmuwan, pembuat dasar mereka telah nampak. Aku yang diberi sedikit kesempatan terlibat dalam IBMYP boleh nampak yang sistem begini lebih baik. Tapi kita memerlukan masa. Semua ini perlukan anjakan paradigma, perlukan pembudayaan yang memakan masa. Hidup kini lebih mencabar dengan persaingan yang begitu tinggi. Selamat datang ke negara maju. Itu lah yang boleh aku katakan. Aku juga masih mengambil masa untuk melaksanakan semua ini tetapi aku percaya, negara kita di landasan yang tepat. Cuma jangan ambil masa terlalu lama. 

Fasa kedua mematangkan aku. Aku mengetahui apa yang aku minat, apa yang aku tidak minat. Aku lebih selektif dalam bidang ini. Bukan semua benda aku ingin cuba. Bukan semua benda aku nak buat. Aku lebih sedar kemampuan diri. Apa yang aku tidak mampu, aku cari jalan kolaboratif. Aku hargai kemampuan orang lain. Kolaboratif adalah alat yang ampuh untuk memajukan diri. Kita tidak mampu buat perkara besar sendiri. Kita perlukan orang lain di sisi. 

Fasa kedua ini aku boleh bayangkan diri aku adalah satu parang yang baru siap tetapi belum diasah lagi. Ulu sudah ada, mata sudah ada, sarung parang sudah siap cuma matanya belum tajam. Aku dicanai, diasah dan diasak hari demi hari untuk jadi tajam. Kadang-kadang perit. Tidak cukup masa itu biasa. Aku lebih mahir sedikit. Parang sudah mula tajam tetapi baru boleh memotong kayu kecil dan lalang tetapi belum biasa memotong kayu balak. Ketajamannya belum cukup kental. Tapi aku sudah mula kenal potensi dan minat diri. Minat itu adalah inovasi dan teknologi.


Fasa 3: 5 tahun ketiga (2019-2024)

Selepas 10 tahun bekerja aku rasa satu kekosongan. Aku buat rutin yang sama sejak 10 tahun. Rutin klise seorang guru. Aku cuba aktifkan diri dalam menulis blog. Aku mulakan blog cikgudaninovasi untuk 'release'. istilah budak sekarang 'healing'. Susah juga nak disiplinkan diri. Suka menulis adalah minat aku sejak kecil, cuma aku bukanlah penulis prolifik. Sesekali menyumbang artikel di majalah sekolah, menulis sajak di majalah ANIS, hasilkan 1 buku terbitan DBP, hasilkan 1 e-book dengan Blink Trading, membantu isteri hasilkan 4 buah lagi e-book dengan Blink Trading, menyumbang artikel di buletin e-pendidik MARA dan melibatkan diri dalam menghasilkan beberapa modul seperti modul inovasi, modul pembelajaran kendiri Pendidikan Islam, modul Gaya Pro Pendidikan Islam, modul hafazan MRSM, modul PKBM Laut juga modul untuk kursus dalam talian bagi warga MARA, MARAFlet. Tidak lah besar karya aku jika nak dibandingkan dengan orang lain. Tapi, pengalaman itu menjadi titik mula untuk aku buat perkara yang berfaedah dalam hidup. Menulis seperti ini, aku dapat melupakan sebentar masalah-masalah hidup yang sememangnya silih berganti dan tak pernah putus. 


Menuai hasil

Aku seronok dalam fasa ini. Apa yang diusahakan bertahun-tahun, ilmu inovasi yang dipraktikkan nampak membuahkan hasil. Jiwa rasa lega, apabila ada orang yang dapat manfaat daripada perkongsian yang disampaikan. Aku cukup berterima kasih kepada mereka yang sering memberikan ruang dan peluang untuk aku kongsikan sedikit ilmu yang aku ada. Aku cenderung fokus kepada bidang inovasi kerana aku dilatih secara rasmi dalam bidang ini oleh majikan aku, MARA. 

Bagi subjek bidang Pendidikan Islam, aku pernah ambil pengalaman menanda kertas SPM dan cuba-cuba memohon untuk perjawatan Guru Cemerlang tetapi masih belum ada rezeki. Banyak lagi rezeki yang Allah SWT bagi untuk disyukuri. Alhamdulillah, sedikit ilmu inovasi yang ada, aku cuba praktikkan dalam menghasilkan sesuatu untuk subjek Pendidikan Islam SPM. 

Lalu terhasillah beberapa inovasi seperti Kit Pembelajaran Haji dan Umrah Al-Mutawwif, Kit Pembelajaran HAJI2U (penambahbaikan Al-Mutawwif), Modul Pembelajaran Kendiri  menggunakan platform Wakelet, Telegram Bot Unit Pendidikan Islam, Minecraft Haji Umrah dan beberapa inovasi lagi. Hasilnya telah berbuah dan aku sudah merasai manisnya. Manisnya ialah rasa puas hati, memenangi anugerah demi anugerah, mendapat pujian orang. Semua ini sudah jadi melimpah bak teh ais viral berbuih-buih.

Lalu aku mula sedar, menuai hasil bukanlah kemucaknya. Macam orang menanam buah. Buahnya masak rimbun. Aku sudah puas makan, tapi pokok terus berbuah. Buah-buah ini jika tidak aku kongsikan manfaatnya kepada orang lain, ia akan layu akhirnya, tidak bermanfaat dan sia-sia. Aku sudah melalui pengalaman hasil inovasi terbiar sepi di rak sehingga tebal berhabuk bertahun-tahun tanpa dimanfaatkan. Lalu, aku nekad keluar dari zon selesa dan cuba mengambil risiko dalam berinovasi. 

Jika sebelum ini, inovasi aku banyak berkisar dalam konteks kecil diri sendiri, kali ini aku inginkan hasil inovasi dapat dikongsikan dengan seramai mungkin khalayak. Oleh itu, aku cuba menyebarluaskan dan menjual hasil inovasi Kit Pembelajaran HAJI2U dan Minecraft Haji Umrah. Sudah tentunya dengan bantuan MARA terutamanya Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif. 

Alhamdulillah, dua produk ini masih segar lagi. Baru cuba-cuba memasuki episod pengkomersilan. Cuba-cuba menjual dan menjadi usahawan kecil. Belum berani katakan usaha ini sampai ke tahap berjihad tetapi aku akan usahakan bersungguh-sungguh. Moga Allah SWT memberkati usaha ini. 

15 tahun perkhidmatan yang mematangkan diri. 






Comments