Langkah pertama bermula Saya bertuah menjadi sebahagian daripada program IB MYP (International Baccalaureate: Middle Year Program). Program pendidikan berprestij antarabangsa yang dijalankan di tiga buah MRSM, iaitu MRSM Balik Pulau, MRSM Tun Dr Ismail, Pontian dan MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan memberikan impak yang sangat signifikan kepada diri ini secara peribadi. Ketiga-tiga maktab ini dikenali sebagai MRSM IBWS (International Baccalaureate World School) yang diiktiraf di peringkat dunia oleh IBO (The Intenational Baccalaureate Organization).
Pertamanya, saya bersyukur kerana program IB MYP yang selalunya dijalankan oleh sekolah-sekolah antarabangsa dapat dilaksanakan di MRSM. Peluang yang diberikan oleh pihak MARA ini menjadikan kami para pendidik serta warga MRSM, berpeluang mengalami sendiri sistem pendidikan bertaraf dunia. Respon pertama sebaik sahaja menerima perkhabaran yang kami terpilih sebagai perintis dalam projek ini adalah rasa teruja kerana nama MRSM Balik Pulau bakal tercatat di peta dunia. Kerisauan tetap ada kerana memikirkan kemungkinan beban kerja yang akan bertambah, dasar-dasar yang mungkin berubah serta bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan program besar seperti ini.
Namun, setelah melalui beberapa kali kursus luaran dan dalaman, perkongsian pengalaman oleh pakar-pakar dan pihak konsultan IB MYP, lawatan demi lawatan ke sekolahsekolah yang telah melaksanakan program ini, minda kami lebih terbuka dan memahami yang pelaksanaan IB MYP dapat memperkasakan organisasi pendidikan. IB MYP tidak mengubah dasar malah menjadi pelengkap kepada dasar-dasar pendidikan sedia ada. Kami faham ini semua bukanlah beban tetapi ia satu peluang besar dalam mengeksplorasi perkara baharu. Antara sekolah yang kami lawati bagi mempelajari selok belok pelaksanaan IB MYP ialah SMK Putrajaya Presint 9 (2), SMK Sungai Tapang, Sarawak, SMK Sultanah Bahiyah, Kedah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak dan beberapa sekolah lagi di seluruh negara termasuklah sekolah antarabangsa seperti Fairview International School. Setiap kali lawatan sambil belajar berlangsung, pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi. Ia menjadikan kami lebih bersemangat untuk melaksanakan program ini sebaik mungkin.
Pemerhatian bukan sahaja tertumpu kepada keadaan fizikal, malah roh pelaksanaan dan keghairahan dapat dirasai. Suka duka, perit jerih serta pahit manis yang dilalui mereka adalah perkara yang sama yang kami lalui ketika awal pelaksanaan IB MYP. Lawatan penanda aras sesungguhnya sesuatu yang sangat bermakna kerana menjadi sumber inspirasi dan motivasi buat kami selain dapat menambahkan pengetahuan. Ia perlu diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai aktiviti wajib bagi memajukan diri. Semangat kerja berpasukan Ada beberapa keunikan program IB MYP yang ingin saya kongsikan di sini. Antaranya subjek-subjek tertentu digabungkan dalam kumpulan subjek yang sama. Sebagai contoh, gabungan subjek Pendidikan Islam, Sejarah dan Geografi dikenali sebagai subjek Individuals and Societies. Guru-guru dalam tiga unit ini bergabung membina satu unit planner (rancangan pengajaran) dengan berkongsi objektif yang sama.
Pada kaca mata IB MYP, tiga subjek ini termasuk dalam satu kumpulan subjek kerana persamaan pada bidang pengajaran iaitu sains sosial dan kemanusiaan. Gabungan seperti ini membuatkan kami sedar tentang erti saling memerlukan di antara satu sama lain. Kerjasama berpasukan menjadi lebih kritikal khususnya pada pendokumentasian. Alhamdulillah, ia dapat dijalankan dengan baik sekali. Saya masih ingat, bagaimana meriahnya MRSM Balik Pulau pada waktu siang membawa ke tengah malam apabila semua pihak begitu sibuk menjalankan kerja-kerja akhir dalam melengkapkan dokumentasi dan kehendak IB MYP. Para pelajar sibuk menghias dinding-dinding dengan info-info berkaitan termasuklah dekorasi seperti mural di sekeliling maktab. Mereka juga bertungkus lumus menyiapkan tugasan pembelajaran seperti karya kreatif, laporan kes, produk inovasi dan seumpamanya bagi mencapai standard antarabangsa yang diperlukan oleh IB MYP.
Para pendidik pula sibuk menyiapkan unit planner, menilai tugasan-tugasan pelajar, pendokumentasian bahan dan seumpamanya manakala para kakitangan serta pihak pengurusan dengan urusan pentadbiran mereka. Semua ini ternyata membawa tekanan yang bukan sedikit. Namun begitu, tekanan yang bertimbun apabila ditanggung bersama-sama, ia menjadi ringan dan mudah. Ia tidak menjadikan kami patah semangat. Kami begitu teruja menyahut cabaran untuk bergelar MRSM terawal bergelar sekolah antarabangsa. Kerjasama di antara subjek yang berlainan juga diutamakan dalam IB MYP dengan pelaksanaan konsep IDU (Interdisciplinary Unit). Dalam melaksanakan konsep ini, dua subjek akan berkongsi unit planner dengan objektif yang sama untuk dicapai. Ada pengalaman menarik yang ingin saya kongsikan iaitu bagaimana subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris bagi Tingkatan Tiga mengaplikasikan IDU.
Subjek Pendidikan Islam ketika itu ada menyentuh tentang topik perpaduan ummah, manakala subjek Bahasa Inggeris pula mengandungi topik persahabatan. Berdasarkan topik yang hampir sama ini, kami dibolehkan berkongsi satu unit planner dan membuat pembahagian pengajaran. Kami guru-guru bersetuju untuk memberikan pelajar, tugasan menemuramah serta mempromosikan topik perpaduan dan persahabatan kepada pelancong asing di jalanan sekitar bandar George Town, Pulau Pinang. Mereka dikehendaki menjalankan sesi temuramah kemudian menghasilkan satu laporan bertulis dan video sebagai produk akhir secara berkumpulan. Pembelajaran menekankan kaedah berpusatkan pelajar. Dengan cara ini pelajar rasa lebih bebas dalam mengekspresikan diri lalu menonjolkan potensi diri. Tugasan pelajar dinilai oleh guru-guru dua subjek ini.
Alhamdulillah, para pelajar berjaya menyempurnakan tugasan masing-masing. Pengalaman yang diperolehi pastinya berguna melatih keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan mereka. Proses IDU ini membawa dimensi baru kepada kami. Pengalaman seperti ini belum pernah dilalui sepanjang perkhidmatan sebagai pendidik. Mengasah potensi diri pelajar Para pelajar pula sudah terbiasa dengan kerja berpasukan kerana mereka perlu menyiapkan sekurang-kurangnya satu tugasan sumatif untuk setiap subjek bagi setiap semester. Jika ada 10 subjek, hal ini bermaksud pelajar perlu menyiapkan sebanyak 10 tugasan sumatif tidak termasuk tugasan-tugasan formatif (kerja rumah). Tugasan sumatif biasanya dalam bentuk fizikal seperti karya kreatif, video, sistem, produk inovasi dan seumpamanya yang sudah pasti memerlukan akses kepada gajet elektronik seperti komputer, telefon pintar, tab dan lain-lain. Kebanyakan tugasan sumatif juga dibuat dalam bentuk kumpulan.
Pelajar telah dibiasakan dengan semangat kerja berkumpulan. Segala tekanan dan bebanan selalunya diletakkan pada bahu ahli pasukan. Walaupun mereka kelihatan begitu sibuk sekali, saya dapat melihat yang pelajar begitu menjiwai gaya pembelajaran aktif yang akhirnya dapat memecahkan potensi diri mereka. Pelajar telah begitu biasa dengan pembentangan lisan, mahir berkomunikasi serta pandai mengurus masa ekoran kesibukan yang selalu ‘mencengkam’. Penggunaan gajet elektronik dengan gaya pembelajaran BYOD (Bring Your Own Devices) dapat diaplikasikan dengan begitu sistematik. Proses yang dilalui ini akhirnya akan mencapai kemuncaknya apabila ketika di Tingkatan Lima, pelajar dikehendaki menghasilkan Personal Project yang boleh dianalogikan sebagai Projek Tahun Akhir. Tugasan ini dilaksanakan secara individu.
Pelajar boleh memilih apa sahaja jenis projek yang mereka minat. Antara produk Personal Project yang berjaya dihasilkan adalah seperti permainan video, pakaian yang dijahit sendiri, laman web, karya penulisan kreatif, bermain alat muzik dan banyak lagi bergantung kepada kecenderungan dan kekuatan bakat individu. Walaupun ketika di Tingkatan Lima pelajar sibuk dengan aktiviti bagi menghadapi SPM, Personal Project dapat disiapkan berkat bimbingan guru penasihat masing-masing. Personal Project ini bukan sahaja dinilai oleh guru penasihat malah ia dihantar kepada pihak IBO untuk semakan semula bagi penjaminan kualiti. Cabaran ini juga berjaya kami lalui pada setiap tahun di mana semua projek pelajar diiktiraf memenuhi kehendak IB MYP.
Kemenjadian Pelajar Dalam mengimplementasikan IB MYP, terdapat ukuran kemenjadian pelajar yang perlu kami ikuti. Ia dinamakan ATL skills (Approach to Learning). ATL adalah sejumlah 140 jenis kemahiran yang perlu dilalui oleh pelajar sepanjang lima tahun pengajian. 140 kemahiran ini dimasukkan ke dalam lima kategori iaitu Berfikir (Thinking skills), Komunikasi (Communication skills), Bersosial (Social skills), Pengurusan Diri (Self-Management skills) dan Penyelidikan (Research skills). Semua kemahiran ini perlu diterapkan dan didokumentasikan secara rasmi di dalam atau luar bilik darjah. Penerapan semua jenis kemahiran ini kepada pelajar bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia telah menjadi pengamalan di sekolah-sekolah negara kita sejak sekian lama. Cuma perbezaannya, kali ini ia dicatatkan dalam rekod secara sistematik dan punya eviden yang pelajar telah melalui kemahiran ini secara rasmi.
Saya ingin menyentuh sedikit tentang pengalaman penerapan kemahiran penyelidikan yang kami laksanakan kepada pelajar. Bagi setiap tugasan formatif atau sumatif, pelajar IB MYP digalakkan melakukan penyelidikan di dalam perpustakaan mahupun melalui internet. Sebagai contoh, jika tugasan pelajar berkisar tentang laporan bertulis, mereka diajar mencari maklumat daripada sumber berautoriti tinggi. Pelajar perlu menyenaraikan rujukan mereka mengikut format APA (American Psychological Association) yang lazimnya diamalkan di peringkat IPT. Dengan cara ini, pelajar telah diterapkan dengan disiplin mencari maklumat lalu menerapkan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri mereka. Tahap kematangan pemikiran mereka juga lebih cepat.
Bagi memenuhi keperluan kemahiran komunikasi, saya bersama rakan sejawatan mengaturkan beberapa siri kelas dengan jaringan antarabangsa dan pelajar dari negara asing. Antaranya, bagi subjek Pendidikan Islam, kami menjalankan kelas bertemakan Makanan Halal bagi pelajar Tingkatan 3. Kami menjalankan sidang video menggunakan aplikasi Skype bersama pelajar-pelajar dari satu sekolah di Vietnam. Para pelajar melakukan pembentangan tentang makanan tradisional masing-masing. Selain itu, kami juga pernah menjalankan kelas bersama pelajar dari negara Qatar bagi subjek Bahasa Arab dengan topik Piala Dunia. Daripada pengalaman ini, mereka dapat belajar nilai menghormati perbezaan agama dan budaya seterusnya dapat meningkatkan keyakinan diri.
IB MYP juga sangat menekankan sifat berdikari para pelajarnya. Adalah menjadi kebiasaan, wakil pelajar dilibatkan sekali dalam mesyuarat pelaksanaan IB MYP kerana mereka adalah nadi program ini. Kepimpinan pelajar dalam program IB MYP ini kami gelar sebagai IB Warriors. Biasanya mesyuarat melibatkan dua orang wakil kepemimpinan pelajar. Idea dan maklum balas wakil pelajar tersebut amat dialu-alukan sehingga sampai satu tahap mereka tidak kekok dalam mengemukakan sebarang idea kerana kemahiran interpersonal mereka telah berjaya dibangunkan. Ketika proses audit berlangsung, para auditor juga diiringi oleh IB Warriors. Boleh dikatakan, tempoh masa mereka bersama para pelajar lebih lama berbanding bersama kami, pendidik dan pihak pengurusan.
Auditor juga mengendalikan sesi khas bersama semua pelajar selama beberapa jam tanpa kehadiran guru dan kakitangan. Hal ini membuktikan bahawa kemenjadian pelajar adalah keutamaan dalam sistem pendidikan. Ketika sesi rondaan dari kelas ke kelas bagi sesi pencerapan, pihak auditor melebihkan penilaian pada pembelajaran aktif berpusatkan pelajar. Apa yang saya pelajari adalah, kita perlu meletakkan lebih kepercayaan kepada pelajar supaya mereka lebih berani dan sedia menghadapi apa juga risiko dan cabaran. Keyakinan tinggi para pelajar rata-ratanya dipuji oleh pihak auditor menunjukkan program ini berjaya mencapai matlamatnya. Impak kepada MARA Pelaksanaan IB MYP tidak mudah kerana belum ada mana-mana MRSM yang pernah melaksanakannya. Ia menuntut komitmen penuh warga MRSM termasuk ibu bapa dan masyarakat sekitar.
Tiga buah MRSM yang terpilih di bawah bimbingan Bahagian Pendidikan Menengah, MARA saling bekerjasama menjalankan program ini sejak mula sehingga berjaya mendapat pengiktirafan sebagai IB World School. Terlalu banyak pahit manis dalam melaksanakan amanah ini. Pelaksanaan program ini membawa rahmat yang besar buat kami. Melalui pengalaman ini, kami dapat menghayati transisi KBSM kepada KSSM dengan begitu mendalam sekali. Perubahan kurikulum kebangsaan yang baharu ini sebahagiannya berdasarkan kurikulum IB MYP yang telah kami laksanakan lebih 5 tahun sebelum ini. Ia menjadikan kami lebih mudah faham tentang falsafah pendidikan negara dan sentiasa menyambut baik sebarang perubahan dalam sistem pendidikan.
Apabila KSSM dijalankan, kami telah bersedia untuk beraksi. Kami sentiasa terbuka untuk berkongsi dengan khalayak tentang pengalaman berharga dalam melaksanakan program IB MYP. Sesungguhnya, MARA mengambil langkah yang tepat menjalankan program ini kepada organisasi pendidikan MRSM. Beberapa perubahan drastik lain yang dijalankan seperti penghasilan modul-modul pembelajaran baharu menjadikan MRSM terus relevan dalam mendepani arus perubahan Revolusi Industri 4.0 dan Pembelajaran Abad Ke-21.
Sekadar menyatakan beberapa contoh sahaja, penghasilan Modul Tamhidi Ulul Albab, Pedagogi Hikmah, penerapan konsep Design Thinking dan Business Model Canvas dalam program SEM (Schoolwide Enrichment Model) serta banyak lagi pembaharuan sistem pendidikan di MRSM menunjukkan MARA sentiasa cakna dengan perkembangan semasa seterusnya mampu menjadikan kita terus unggul memimpin bidang pendidikan negara ini. Walaupun, IB MYP sudah tidak diteruskan, beberapa amalan baik yang telah kami jalankan sepanjang bergelar IB World School masih diteruskan lagi bagi menjamin kesinambungan pendidikan bertaraf dunia dalam organisasi MRSM.
Lagipun, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang sedang dijalankan pada masa kini amat bertepatan dengan apa yang telah kami laksanakan sebelum ini. Terima kasih MARA memberikan peluang kepada kami merasai sendiri pengalaman beraksi di pentas dunia. From zero to hero, dari sebalik pulau, merentas galaksi menyempurnakan misi. TAMAT
Comments
Post a Comment