Siri 1: Beban kerja guru: Pandang dari sudut positif

Tugas sebagai seorang guru sekolah pada masa kini tidak terhad kepada aspek Pengajaran dan Pembelajaran sahaja, malah kebolehan dan kepakaran guru ditagih untuk melaksanakan kerja-kerja pengurusan yang tidak kurang pentingnya. Sebagai contoh aspek-aspek pengurusan dan pensijilan seperti ISO, EKSA, 5S dan sebagainya.

Bagi MRSM Balik Pulau, kami terlibat dengan ISO, pensijilan antarabangsa bagi program International Baccalaureate World School dan juga satu lagi jenis pensijilan kualiti pengurusan sekolah iaitu MQS (MARA Quality System). Ketiga-ketiga jenis pensijilan ini berbeza kehendaknya di antara satu sama lain yang pastinya menuntut komitmen tinggi semua pihak khususnya warga maktab.

Dengan tekanan serupa ini, saya sentiasa memandang dari sudut positif kerana pada pendapat saya, jika saya bersifat positif, satu beban di kepala telah hilang. Inilah langkah pertama yang diperlukan supaya kita kekal fokus dan semangat. Lagipun, setiap cabaran baru yang kita perolehi akan menjadikan kita kuat berfikir bagaimana untuk memudahkan urusan kerja kita. 

Proses menyelesaikan masalah adalah salah satu proses wajib yang perlu dilalui seseorang inovator. Proses yang dipanggil Problem Solving ini ada pada kebanyakan model pemikiran seperti SWOT, Design Thinking, Triz dan sebagainya. Pengetahuan serba sedikit secara teori dalam model-model pemikiran seperti ini akan menjadikan kita lebih cekap dan kompeten dalam melalui perjalanan kerja kita yang sentiasa berubah-berubah dan menuntut komitmen tinggi seperti pengetahuan dalam aspek ICT. 

Perkongsian kali ini saya ingin kongsikan bagaimana berfikir positif dan kerja berpasukan dapat meringankan beban tugas kita. Saya telah dilantik sebagai Penyelaras bagi pensijilan MQS yang memfokuskan pada elemen pengamalan Kreativiti dan Inovasi di MRSM Balik Pulau. Senang cerita, segala program berkaitan kreativiti dan inovasi yang berlaku adalah di bawah pemantauan saya untuk proses dokumentasi. 

Jika aktiviti tersebut belum berlaku, saya juga perlu usahakan supaya program tersebut ada. Saya juga bertindak sebagai Penyelaras bagi pelaksanaan aspek Approach To Learning (140 kemahiran abad ke-21 yang perlu dilalui oleh setiap pelajar) secara sedar dan perlu didokumenkan sepanjang 5 tahun pelajar belajar di MRSM Balik Pulau. 

Sebelum ni, saya cuma tahu ada lima jenis kemahiran saja iaitu JERIS (jasmani emosi, rohani, intelektual, spiritual), tapi mat saleh ni dipecahkan lagi lima tu jadi 140 pulak.huhu. Nampak sukar dan perlu belajar semula benda baru. Tapi belajar perkara baru menjadikan kita rasa muda semula walaupun usia sudah meningkat. Itulah yg saya rasa, macam kembali semula zaman belajar di universiti ketika umur awal 20-an.

Tentu sekali bukan saya seorang yang buat kerana kerja ini kerja berpasukan. Saya perlu menaruh kepercayaan kepada rakan-rakan untuk melakukannya bersama-sama. Sesetengah orang lebih selesa melakukan satu-satu tugas secara bersendirian kerana tidak mahu berhadapan dengan karenah orang lain atau tidak gemar orang lain menilai pemikiran dan gaya kerja kita atau atas sebab-sebab yg tersendiri. 

Saya pun selalu begitu. Namun saya sedar, saya setakat boleh menjadi bagus sahaja jika bekerja sendirian. Jika bekerja bersama pasukan, saya boleh menjadi hebat, kerana rakan sepasukan punya idea-idea berbeza yang mampu menjadikan cara pemikiran kita berbeza dan tidak klise seperti kebiasaan kita. Dalam Pembelajaran Abad Ke-21 juga menetapkan komunikasi dan kolaborasi sebagai ciri-ciri terpenting dalam cara kerja abad ini. Lebih-lebih lagi kriteria utama penilaian bagi program IBWS mementingkan kolaborasi sesama warga maktab daripada pelajar, ibu bapa, kontrak pembersihan dan keselamatan, guru dan masyarakat sekitar dari kebanyakan aspek penilaiannya.

*bersambung di Siri 2, sila klik pautan ini sambungan Siri 2😊


Comments